16 SEPT : Jambatan Bailey diarah dibina segera bagi menggantikan jambatan yang runtuh di Sungai Kaiduan, Papar, Sabah akibat banjir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pembinaan segera itu bagi mengelakkan gangguan perhubungan.
“Saya difahamkan jambatan di Sungai Kaiduan, Papar, Sabah telah runtuh akibat banjir yang melanda negeri tersebut menyebabkan kawasan tersebut telah terputus hubungan.
“Oleh itu, saya mengarahkan agar pemasangan jambatan Bailey dibuat segera bagi mengelakkan gangguan perhubungan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membekalkan Kerajaan Negeri Sabah tiga unit stok jambatan keluli bermodular (Bailey Bridge) tahun lalu sebagai keperluan logistik untuk meningkatkan kesiapsiagaan infrastruktur dalam menghadapi bencana.
Justeru itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat memohon Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang memiliki kepakaran khusus dalam pembinaan Bailey Bridge agar segera membuat pemasangan di kawasan terjejas.
Selain itu katanya, pihak JKR Sabah juga sedang memberi tumpuan kepada kerja-kerja baik pulih infrastruktur di Jalan Penampang-Tambunan dengan kerjasama syarikat konsesi berikutan kejadian tanah runtuh yang menjejaskan laluan utama.
“Usaha pembersihan runtuhan, penstabilan cerun dan pembaikan segera sedang dipergiat seperti menyusun kerja-kerja pembinaan semula jambatan gantung yang terputus, membina semula tembok penahan cerun di kawasan-kawasan perumahan yang mengalami kerosakan akibat hakisan dan tanah runtuh serta membuat pembaikan jalan-jalan raya yang runtuh,” katanya.
Menurutnya, selain bantuan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat turut menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana di Sabah.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama dan sumbangan yang diberikan kepada mangsa bencana. Antara bantuan yang dihulurkan adalah merangkumi makanan sedia dimakan, barangan keperluan harian, selimut, tilam, bantal serta bantuan logistik lain.
“Usaha ini secara tidak langsung membantu meringankan beban mangsa yang terjejas dan menyokong kelancaran operasi bantuan di kawasan bencana,” katanya.
Tambahnya, Ketua Pengarah NADMA sudah berada di Sabah untuk bersama-sama Setiausaha Persekutuan Sabah (SUP) bagi membantu menyelaras pengurusan bencana di sana.
Ahmad Zahid sempat mendoakan agar semua negeri yang ditimpa musibah banjir akan segera pulih dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa dalam masa terdekat.