22 SEPT : Mekanisme penggunaan kad pengenalan, MyKad dalam agihan subsidi sudah mencukupi tanpa memerlukan sistem baharu termasuk BUDI95.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata keberkesanan mekanisme itu sudah terbukti dalam pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang melibatkan kira-kira 9 juta rakyat.
“Walaupun terdapat isu keselamatan, MyKad telah digunakan dengan baik. Tidak perlu kita wujudkan sistem atau kad baharu.
“Setiap rakyat akan menjaga MyKad mereka dengan baik kerana ia merupakan kunci kepada pelbagai kelayakan bantuan.
“Tanpa MyKad, seseorang tidak dapat mengakses manfaat ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Kampung Angkat Madani Pulau Betong, hari ini.
Menurut Amir Hamzah yang juga pemangku Menteri Ekonomi, MyKad merupakan dokumen penting kepada kelayakan subsidi itu.
“Apabila seseorang memiliki MyKad, ia bukan sekadar kad pengenalan, tetapi simbol identiti dan hak sebagai warganegara. MyKad itu berharga kerana ia menghubungkan pelbagai manfaat dan sistem lain.
“Kita mahu, apabila seseorang itu memiliki MyKad, dia merasa bangga. Ini kerana MyKad itulah yang menjadi kunci kepada kelayakan yang ada padanya. Kalau tiada MyKad, dia tidak dapat subsidi,” katanya.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata kenderaan dengan pendaftaran asing juga tidak layak membeli RON95 pada harga subsidi.
“Walaupun mereka menggunakan MyKad, jika kenderaan didaftarkan di Singapura atau Thailand, mereka tetap tidak layak guna RON95. Mereka hanya dibenarkan guna RON97,” katanya.
Beliau juga mengatakan kelayakan 300 liter RON95 sebulan itu mencukup termasuk bagi mereka yang berulang-alik ke tempat kerja.
“Kita dapati individu yang berulang-alik bekerja, seperti dari Seremban ke Kuala Lumpur, hanya menggunakan sekitar 170 liter sebulan. Jadi, had 300 liter adalah mencukupi,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan kerajaan menetapkan siling kelayakan 300 liter sebulan bagi RON95 kepada setiap rakyat Malaysia dengan harga subsidi RM1.99 seliter yang berkuat kuasa mulai 30 September melalui sistem BUDI95.