23 SEPT : Beberapa mekanisme kawalan bakal diperkenalkan bagi memastikan tiada penyelewengan dalam pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula hujung bulan ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata persediaan semua pihak terhadap pelaksanaan subsidi RON95 yang diturunkan harga kepada RM1.99 seliter itu berada pada tahap yang baik.
Menurutnya, semua syarikat minyak sudah mengesahkan kesiapsiagaan masing-masing termasuk kemudahan mesin di stesen minyak.

“Mesin untuk digunakan di kedai sudah disediakan dan kebanyakan syarikat minyak juga telah mengaktifkan sistem di terminal pembayaran sama ada di pam atau di kaunter stesen minyak.
“Persediaan ini mencukupi, namun kita tahu tiada perkara yang sempurna dan sesuatu yang baharu mungkin menghadapi sedikit kesukaran, jadi saya harap rakyat dapat bersabar. Perkara yang penting, kerajaan akan tetap memenuhi janji,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian Jelajah Mega E-Invois Siri 2/2025 Peringkat Nasional di Georgetown, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menetapkan siling kelayakan 300 liter sebulan bagi RON95 kepada setiap rakyat Malaysia dengan harga subsidi RM1.99 seliter yang berkuat kuasa mulai 30 September melalui sistem BUDI95.
Amir Hamzah yang juga pemangku Menteri Ekonomi berkata melalui mekanisme itu juga kerajaan akan memastikan golongan seperti pemandu e-hailing yang memerlukan lebih 300 liter sebulan benar-benar layak melalui pengesahan bersama syarikat masing-masing.
“Kalau kelayakan itu ada, mereka boleh memohon dengan sokongan syarikat. Kita boleh mengesahkan penggunaan tersebut melalui rekod sistem e-hailing sama ada benar-benar digunakan untuk bekerja.
“Kerajaan juga tidak akan membenarkan penggunaan yang terlalu banyak dalam sehari,” katanya.
Rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu boleh membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter dengan menggunakan MyKad masing-masing.