24 SEPT : Seramai 2.4 juta rakyat Malaysia hilang kelayakan bagi menerima subsidi petrol, BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kehilangan kelayakan itu susulan kesemua Lesen Memandu Kompeten (CDL) mereka terbatal selepas tamat tempoh melebihi tiga tahun.
Menurut Anthony, rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga menunjukkan 925,421 lesen sudah tamat tempoh namun masih tidak melebihi tiga tahun.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 551,688 lesen tamat tempoh kurang setahun, 219,092 antara satu hingga dua tahun manakala 154,641 antara dua hingga tiga tahun.
“Golongan ini diseru supaya segera memperbaharui lesen memandu mereka, khususnya 154,641 individu yang hampir mencapai had tiga tahun.
“Jika tempoh melebihi tiga tahun, mereka bukan sahaja hilang kelayakan subsidi BUDI95 kerana sistem Kementerian Kewangan akan menyekat secara automatik, malah perlu menduduki semula ujian memandu bahagian dua dan tiga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media, hari ini.
Selain itu katanya, sejak pengumuman BUDI95 dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, JPJ merekodkan 26,991 transaksi pembaharuan CDL menerusi pelbagai saluran.
“Orang ramai diingatkan supaya menyemak tarikh tamat tempoh lesen masing-masing dan memperbaharui segera.
“Kini proses pembaharuan cukup mudah, malah menerusi aplikasi MyJPJ hanya mengambil masa kurang dua minit untuk diperbaharui,” katanya.