Malaysia syukur Hamas terima pelan damai dengan Israel
4 OKT : Malaysia menzahirkan rasa syukur terhadap penerimaan bersyarat kumpulan pejuang Palestin, Hamas terhadap pelan damai yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Israel tidak boleh lagi menggunakan alasan Hamas tidak menerima pelan damai itu untuk terus membantai rakyat Palestin di Gaza.
“Alhamdulillah, kita bersyukur kerana Hamas menerima (pelan damai) walaupun dengan bersyarat.
“Maknanya tidak boleh dijadikan alasan bahawa Hamas tidak menerima 20 perkara ini untuk Gaza terus diganyang dan rakyat Palestin terus dibunuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), hari ini.
Menurut Mohamad, persetujuan bersyarat Hamas itu menunjukkan kesediaan kumpulan itu untuk mencari jalan penyelesaian damai.
Beliau menjangkakan laluan bantuan kemanusiaan melalui Pintu Rafah dan Jambatan King Hussein akan dibuka sebaik pelan damai itu dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau menyeru mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat agar berhubung dengan Wisma Putra bagi memastikan proses penyampaian bantuan dapat diaturkan dengan cepat dan tersusun.
“Pihak yang hendak membantu selepas ini elok pergi ke Pintu Rafah dan Jambatan King Hussein kerana apabila saja ia dibuka nanti, maka urusan menghantar bantuan akan berlaku dengan cepat,” katanya.
Awal hari ini, Hamas dilaporkan bersetuju dengan sebahagian daripada 20 perkara dalam pelan damai Trump itu termasuk pembebasan tebusan dan penyerahan kuasa pentadbiran di Gaza.
Namun, kumpulan itu menolak syarat pelucutan senjata.
Dalam kenyataannya, Hamas bersedia menyerahkan pentadbiran Gaza kepada pihak berkuasa Palestin yang bebas berdasarkan konsensus nasional Palestin serta sokongan Arab dan Islam.
Dua tuntutan utama pelan Trump adalah pembebasan baki 48 tebusan dalam tempoh 72 jam serta penyerahan kuasa pentadbiran Gaza.
Pelan Trump itu juga melibatkan pembebasan 250 tahanan Palestin yang berdepan hukuman penjara seumur hidup serta 1,700 tahanan yang ditahan sejak perang bermula sebagai pertukaran terhadap pembebasan tebusan Israel.