4 OKT : Kesemua 23 delegasi Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) sudah dibebaskan.
Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi.
Katanya, kesemua sukarelawan itu kini dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ramon di Selatan Israel.
Menurut Anwar, kesemua peserta itu akan menaiki pesawat khas ke Istanbul, Turkiye sebelum bergerak pulang ke Kuala Lumpur.
Semalam tiga daripada anak-anak kita, anak-anak Malaysia yang agak keberatan untuk menandatangani arahan pengusiran dari Israel, tapi pendapat kita adalah untuk mereka bersetuju dan kita bincang juga dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby untuk mengajak semua pulang dan kita susun strategi berikutnya.
“Alhamdulillah, untuk sekarang dapat berita yang menyenangkan dan tentunya dengan rundingan ini saya tidak hanya membatasi keselamatan rakyat Malaysia dan Turkiye tetapi turut membicarakan semua termasuk Eropah dan rakan-rakan Indonesia serta negara-negara lain yang bersama dalam rombongan GSF,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu rakaman video berkait usaha pembebasan aktivis dan sukarelawan Malaysia serta pelan damai Gaza, hari ini.
Jelas Anwar, pembebasan kesemua rakyat Malaysia itu selepas mereka menandatangani arahan pengusiran Israel.
Dalam pada itu, 23 peserta tersebut dijangka pulang esok atau lusa selepas pemeriksaan kesihatan di Istanbul.
“Rundingan saya dengan Ketua Perisikan Malaysia di Ankara untuk menyelaras bersama Duta Besar dan Kedutaan Besar di Ankara, lebih baik mereka menginap satu ke satu setengah hari di Istanbul untuk pemeriksaan kesihatan akibat trauma, tekanan rejim zalim yang bertindak agak keras terhadap mereka.
“Saya setuju (dan) mereka akan berlepas pulang mungkin esok malam (Ahad) atau lusa (Isnin). Itu kita sedang aturkan,” katanya.