7 OKT : Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan kementeriannya diberi peringatan keras susulan insiden hidangan arak pada acara kerajaan, baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peringatan itu selari dengan dasar kerajaan yang tidak membenarkan perkara itu.
Tegasnya, meski penjelasan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hidangan itu hanya dibuat selepas acara rasmi tamat, namun Anwar menegaskan ia tetap tidak wajar dilakukan.
“Dasar kerajaan tegas tidak membolehkan acara rasmi kerajaan hidangkan arak.
“Penjelasan MOTAC adalah ini (hidang arak) sudah selesai acara rasmi tetapi tempat yang sama, meja yang sama.
“Kami telah beri peringatan keras kepada menteri dan kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan ini walaupun penjelasannya adalah program (acara rasmi) sudah berakhir tetapi tidak wajar sama sekali,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan beliau juga akan memberi peringatan kepada seluruh jentera kerajaan.
“Bagi pihak kerajaan saya akan peringatkan jemaah menteri dan seluruh jentera kerajaan supaya tidak cuai dalam masalah ini,” katanya.
Terdahulu, isu hidangan arak pada acara MOTAC tular melalui video yang dimuat naik di media sosial.