13 OKT : Guru tidak sepatutnya dipersalahkan sepenuhnya jika berlaku sebarang tingkah laku tidak bermoral dalam kalangan pelajar sekolah.
Sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ibu bapa juga perlu berkongsi tanggungjawab.
Tegasnya, kelemahan sistem pendidikan yang diwarisi antara punca berlakunya kes tidak bermoral di sekolah.
“Saya tekankan masalah buli (disebabkan) pendidikan (tekankan) ilmu dan bukannya prinsip-prinsip nilai, moral dan etika…jadi, ada kecacatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, hari ini.
Beliau berharap semua pihak termasuk institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat mempunyai tekad memperbaiki kelemahan itu demi membentuk generasi berilmu serta berakhlak.
“Mudah-mudahan kita ada tekad untuk lakukan yang sebaiknya untuk keluarga, masyarakat dan negara kita,” katanya.
Terdahulu, seorang pelajar Tingkatan Tiga dipercayai dirogol dua pelajar senior di dalam kelas yang turut dirakam dan disaksikan dua pelajar lain.
Ibu mangsa yang menerima maklumat daripada guru mengenai penyebaran video itu segera membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah.
Polis kemudiannya mengesahkan empat pelajar lelaki berusia 17 tahun yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia direman enam hari selepas disyaki merogol seorang pelajar berusia 15 tahun di sebuah sekolah di Alor Gajah, minggu lepas.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA