Pembangunan Kota MADANI tidak boleh lewat
18 OKT : Perdana Menteri menegaskan tidak boleh menerima kelewatan pembangunan Kota MADANI.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu ketika menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Putrajaya Holdings ke-30 pada Jumaat.
Namun beliau menekankan konsep Kota MADANI yang dibangunkan itu bukan sekadar fizikal semata-mata sebaliknya perlu diberi penekanan juga pembangunan insan termasuk pendidikan, kebudayaan, kemampanan dan keadilan sosial.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akui nilai manusiawi merupakan cabaran terbesar dalam pembangunan Kota MADANI itu.
“Sebab itulah diusulkan kepada Putrajaya Holdings (PjH) kerana ini adalah keupayaan mereka untuk membangunkan kota baharu lestari yang memenuhi konsep MADANI.
“Saya usulkan lebih setahun pembinaan Kota MADANI. Mudah-mudahan kita dapat lihat dalam masa singkat…yang saya tidak boleh tolak ansur ialah kalau lambat, jadi kita (mahu) cepat. Sejak Perbadanan Putrajaya (PPj) dan semua jentera kerajaan memberikan kerjasama penuh, kini tunggu Putrajaya Holdings untuk beri full speed ahead,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Menurutnya, pembangunan Kota MADANI perlu mengikut keperluan semasa termasuk penerapan konsep bandar pintar, penggunaan kecerdasan buatan serta kepekaan terhadap isu perubahan iklim dan kelestarian alam.
Dalam ucapan sama, Anwar turut menekankan kemajuan sesebuah kota tidak boleh diukur hanya melalui kehebatan pencakar langit atau kemodenan infrastrukturnya semata-mata.
“Hakikatnya, kemajuan sebenar harus mencerminkan keindahan dan kebersihan persekitaran, keprihatinan terhadap alam sekitar, serta keutuhan nilai budaya dan kemanusiaan masyarakatnya.
“Sering kali kita terlupa, bahawa yang kita bangunkan bukan sekadar gedung atau kota, tetapi nilai kemanusiaan atau karamah insaniah yang menjadi teras kepada konsep MADANI.
“Kota yang maju mesti bersih, indah dan lestari. Namun di sebalik segala pembangunan fizikal, jangan sekali-kali kita abaikan hakikat bahawa tujuan utama pembangunan ialah membentuk manusia yang berjiwa, berakhlak dan bertanggungjawab terhadap persekitarannya,” katanya.
