Hubungan dua hala Malaysia-AS diperkukuh
27 OKT : Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bertekad untuk terus memperkukuh hubungan dua hala berasaskan saling hormat, kepentingan bersama dan semangat memperjuangkan keamanan sejagat.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar selepas mengadakan pertemuan singkat dengan Presiden AS, Donald Trump pagi ini.
Kata Anwar, ruang pertemuan itu juga dimanfaatkan untuk meneliti kembali hasil perbincangan dua hala antara kedua-dua negara.
“Pagi ini, saya sekali lagi berkesempatan mengadakan pertemuan singkat dengan Presiden Donald Trump sebelum beliau berlepas ke Tokyo, Jepun.
“Pertemuan ini memberi ruang untuk meneliti semula hasil perbincangan dua hala Malaysia–Amerika Syarikat yang telah dijalankan sebelum ini, termasuk kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, teknologi dan keamanan serantau,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau turut menggunakan kesempatan itu untuk merakamkan penghargaan kepada Trump atas peranan beliau dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) serta Pelan Damai Gaza yang menjadi sinar harapan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan.
Semalam, Malaysia dan AS mengadakan mesyuarat dua hala bagi memperkukuh hubungan diplomatik yang sudah terjalin sejak tahun 1957.
Anwar berkata ia membuka ruang baharu bagi memperdalam kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, pendidikan, pertahanan serta teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
“Saya turut menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan AS dalam memperkukuh hubungan dua hala ke tahap Comprehensive Strategic Partnership serta dalam menjayakan pelbagai inisiatif serantau termasuk usaha memperkukuh keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.
“Saya juga menegaskan komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan Pelan Damai Gaza termasuk memastikan laluan bantuan kemanusiaan tidak dihalang dan proses pembinaan semula wilayah berkenaan dapat dilaksanakan segera demi keadilan dan maruah rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Malaysia dan AS turut menandatangani Framework Agreement on Reciprocal Trade (ART) dan Memorandum of Understanding on Critical Minerals sebagai langkah strategik memperkukuh keterjaminan rantaian bekalan serta manfaat bersama antara kedua-dua negara.
“Saya mendoakan agar hubungan baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat terus diperkukuh demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
“Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Trump atas kesudian berkunjung ke Malaysia dan atas komitmen beliau dalam mempererat persahabatan antara kedua-dua negara,” kata Anwar.
Katanya, Malaysia akan terus memimpin dengan prinsip, bekerjasama atas dasar saling hormat, memperkukuh perdagangan bebas dan menjunjung keamanan sejagat, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
Malaysia katanya menjadi pusat diplomasi dunia dengan kehadiran puluhan pimpinan dunia dari ASEAN, AS, Brazil, Afrika Selatan, Kanada, Australia, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 itu yang sekali gus mencerminkan keyakinan global terhadap peranan ASEAN sebagai pusat perdamaian juga kemakmuran serantau.
