10 NOV : Mana-mana platform media sosial yang didapati sengaja membantu atau bersubahat dalam aktiviti menyalahi undang-undang termasuk meraih keuntungan daripada iklan berkait penipuan serta judi akan kenakan tindakan sewajarnya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan membangkitkan perkara itu susulan laporan media antarabangsa yang mendedahkan syarikat Meta meraih keuntungan daripada aktiviti tersebut.
“MCMC memandang serius laporan terkini agensi berita Reuters yang mendedahkan bahawa syarikat Meta meraih keuntungan daripada iklan berkaitan penipuan, perjudian dalam talian dan aktiviti haram.
“Sekiranya terdapat bukti bahawa mana-mana platform telah sengaja membantu atau bersubahat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang negara,” menurut MCMC.
Dalam kenyataan itu, MCMC berkata pihaknya akan memanggil Meta berkait perkara itu.
“MCMC berkongsi kebimbangan yang disuarakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan akan memanggil pihak Meta untuk memberikan penjelasan rasmi berhubung ketepatan pendedahan tersebut.
“Pada masa sama, MCMC akan memulakan siasatan terhadap perkara berkenaan. Sekiranya terbukti benar, ini dianggap pelanggaran serius terhadap kepercayaan awam dan undang-undang negara,” menurut MCMC lagi.
Mengulas lanjut, MCMC memaklumkan sebelum laporan berita itu diterbitkan, pihaknya sudah mengadakan sesi libat urus dengan beberapa platform media sosial utama termasuk Meta berhubung isu iklan penipuan dan perjudian dalam talian.
“Dalam sesi tersebut, MCMC menekankan kebimbangan terhadap jumlah permintaan penurunan kandungan amat tinggi yang perlu dikemukakan kepada Meta berbanding platform lain.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 4 November 2025, MCMC mengemukakan kepada Meta sebanyak 157,208 permintaan untuk menurunkan iklan aktiviti menyalahi undang-undang dalam talian dan 44,922 permintaan berkaitan iklan penipuan.
“Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding platform lain. Dalam tempoh yang sama, permintaan penurunan iklan perjudian dalam talian dikemukakan kepada TikTok (3,956), Telegram (269), X (dahulunya Twitter) (11) dan YouTube (45,448),” kata suruhanjaya itu.
MCMC berkata pihaknya sudah menasihati Meta agar mengambil pendekatan lebih proaktif dalam membanteras aktiviti penipuan dan perjudian dalam talian memandangkan langkah sedia ada masih belum mencukupi selain aktiviti sebegitu terus memberi kesan negatif kepada masyarakat.
Justeru itu, bagi memastikan keselamatan dalam talian lebih berkesan, MCMC menegaskan kesemua platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet perlu dilesenkan secara sah dan bertanggungjawab membuktikan sistem serta langkah-langkah untuk mencegah aktiviti haram.
“Platform-platform berkenaan juga disaran melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.