Diaspora di Afrika Selatan ‘duta tidak rasmi’ negara
22 NOV : Diaspora Malaysia yang berada di luar negara termasuk di Afrika Selatan adalah duta tidak rasmi yang membantu memperluas jaringan serta menyerlahkan maruah Malaysia di luar negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keterujaannya menyaksikan kecintaan diaspora Malaysia terhadap tanah air ketika bertemu mereka di Johannesburg, Afrika Selatan, semalam.
“Pertemuan bersama diaspora Malaysia semalam di Johannesburg tersangat istimewa. Meski jauh beribu batu dari tanah air tercinta, semangat dan kehangatan keakraban mereka terasa seperti kita berkumpul di Kuala Lumpur.
“Mereka berkongsi cabaran, peluang dan perjalanan hidup yang membentuk kekuatan dan perpaduan komuniti Malaysia di rantau penting ini.
“Saya teruja dan terkesan menyaksikan betapa dalamnya kecintaan mereka terhadap Malaysia. Mereka adalah duta tidak rasmi negara yang punyai nurani untuk mencipta reputasi dan imej negara, memperluas jaringan dan melonjak maruah negara ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Ketika pertemuan itu, Anwar turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus merapatkan ddan menyemarakkan hubungan dengan rakyat Malaysia di luar negara.
Selain itu, katanya, kerajaan juga memastikan rakyat Malaysia kekal terhubung dengan tanah air, dihargai dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada nadi serta roh pembangunan bangsa.
Pada sesi sama, Anwar berkongsi matlamat dalam lawatan rasminya ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya yang bukan sahaja tertumpu kepada ekonomi dan pelaburan tetapi juga usaha memetakan Malaysia di persada nilai dan prinsip-prinsip kemanusiaan yang kita kongsi bersama.
