27 NOV : Kerajaan Malaysia melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral di Songkhla bertungkus-lumus memindahkan rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir besar di Hatyai, Thailand.
Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dalam satu kenyataan berkata usaha evakuasi sudah digerakkan seawal 21 November melibatkan penghantaran makanan, ubat-ubatan serta misi menyelamat yang dijalankan bersama kerajaan tempatan Songkhla, Tentera Thailand, badan bukan kerajaan (NGO) Thailand dan NGO Malaysia.
Pusat Perlindungan Sementara yang dibuka Thailand turut menerima rakyat Malaysia yang terkandas dan menampung keperluan mereka.
Bagaimanapun, kenyataan itu memaklumkan pihaknya menjangkakan 700 mangsa masih belum dapat dicapai ekoran paras air tinggi dan arus deras di sekitar kawasan hotel yang terjejas.
“Dijangka 700 orang mangsa masih gagal dicapai akibat paras air tinggi dan arus deras di kawasan hotel. Namun mereka dapat dihubungi melalui telefon.
“Usaha cuba mencapai selama empat hari berturut-turut belum lagi berjaya memindahkan mangsa-mangsa dari kawasan yang kritikal,” menurut kenyataan itu.
Katanya, kejayaan menyelamat yang dijalankan beberapa hari ini secara mutlaknya bergantung kepada keadaan cuaca buruk iaitu hujan lebat, paras air tinggi, arus deras, angin kencang pada setiap masa.
Antara lokasi paling kritikal yang masih sukar diakses ialah Leevana Hotel, Signature Hotel, Wang Burapat dan beberapa unit Airbnb berdekatan.
Walaupun berdepan halangan fizikal, kesemua mangsa masih dapat dihubungi melalui telefon, membolehkan pasukan penyelamat memantau keadaan mereka dari semasa ke semasa.
Kata kedutaan, pihak Malaysia dibantu Pusat Pengurusan Bencana Alam Songkhla, Tentera Thai serta persatuan dan NGO dari Thailand juga Malaysia.
