27 NOV : Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat yang kini mula berleluasa.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah demikian agar umat Islam sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat atau fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.
Menurut kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda bertitah penularan ajaran dan fahaman yang menyimpang kini semakin membimbangkan terutama melalui media sosial.
Baginda turut menzahirkan nasihat supaya umat Islam sentiasa meningkatkan ilmu agama, memperkukuh kefahaman serta mengamalkan nilai-nilai Islam yang sebenar.
Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Nasri Ali.
Pada sesi mengadap itu, Yahya mempersembahkan usaha-usaha yang dilaksanakan JAINJ dalam membanteras ajaran sesat di Johor.
Menurutnya, JAINJ mengambil pelbagai langkah dalam membendung penularan ajaran sesat di Johor, selain memantau cubaan menyebarkan ajaran sesat terutama oleh mereka dari luar Johor.
*FOTO : FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR