Shamsul letak jawatan bukti Kerajaan MADANI berintegriti
27 NOV : Peletakan jawatan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bukti Kerajaan MADANI mempunyai tahap integriti yang tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan bekas setiausaha politik kanannya itu tidak pernah berlaku dalam mana-mana pentadbiran sebelum ini.
“Beliau terus meletak jawatan dan meminta siasatan dijalankan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Mana ada dulu macam itu? Ini ada tuduhan terus berhenti dan panggil SPRM siasat. Barulah kita ada integriti.
“Dulu, kalau Perdana Menteri disiasat, menantu lari ke luar negara. Nak cakap soal integriti, integriti apa itu?” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi townhall pada program PMX Sayang Sabah Bersama Anak Muda Inanam, hari ini.
Terdahulu, Anwar mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Shamsul Iskandar susulan terpalit kontroversi surat sokongan.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kesemua kakitangannya diingatkan agar bertanggungjawab terhadap sebarang salah laku.
“Saya pesan kepada staf saya, jika didapati bersalah, kamu perlu menanggung padahnya, siasatan menyeluruh, bawa ke mahkamah, baru betul kita jaga negara ini,” katanya.
