28 NOV : Ribut Tropika Senyar dilaporkan sudah melemah dan diturun taraf kepada sistem cuaca tekanan rendah selepas memasuki kawasan tengah Semenanjung Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata ia diramalkan akan terus bergerak ke arah timur menuju ke perairan Laut China Selatan.
“Berdasarkan pencerapan radar, Senyar mendarat (landfall) sekitar tengah malam tadi di kawasan pantai antara sempadan Selangor dan Negeri Sembilan.
“Walaupun sistem semakin lemah, aktiviti pembentukan awan hujan masih kekal aktif. Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di beberaoa kawasan di Semenanjung Malaysia terutamanya di Pahang dan Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, corak cuaca ini dijangka berterusan sehingga 29 November 2025.
Dalam pada itu katanya, MET Malaysia akan terus membuat pemantauan rapi dan akan mengemaskini maklumat serta amaran cuaca jika terdapat perubahan signifikan.
Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MET Malaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline 1-300-22-1638.