2 DIS : Kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Keputusan itu dibuat Jabatan Peguam Negara (AGC) setelah menerima taklimat hasil laporan siasatan yang dibuka Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hari ini.
“Setelah ditaklimatkan dan meneliti hasil laporan siasatan tersebut, jabatan ini mengarahkan kes kematian (Syamsul Haris) diklasifikasikan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk siasatan selanjutnya oleh pihak PDRM,” menurut jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan, hari ini.
Allahyarham Syamsul Haris, 22 dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.
Jasadnya kemudian dikebumikan keesokan harinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu di Selangor.
Namun, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 menuntut siasatan semula terhadap kes kematian anaknya yang didakwa memiliki pelbagai kesan kecederaan pada jenazah.
Ummu mendakwa tanda pada dada arwah ketika ditemui di unit forensik seolah-olah kesan dipukul atau dicucuk menggunakan objek selain pendarahan teruk dari hidung.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos kemudiannya memerintahkan kubur Allahyarham digali semula dan bagi membolehkan bedah siasat kedua dilaksanakan.