4 DIS : Pendidikan digital tidak boleh bergantung kepada kempen kesedaran semata-mata, sebaliknya perlu disusun secara sistematik dalam struktur pendidikan formal serta melibatkan peranan ibu bapa dan masyarakat.
Presiden Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Sirajuddin Jalil berkata pendekatan lebih teratur amat penting memandangkan kanak-kanak kini lebih mudah terdedah kepada kandungan berbahaya termasuk bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) melalui pelbagai platform digital.
Sehubungan itu, beliau berkata kerjasama semua pihak dalam memastikan langkah pencegahan dan pendidikan digital dapat memberi impak nyata bagi melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi dalam talian.
“Pendidikan digital tidak boleh bersifat sekali belajar sahaja dan perlu diteruskan secara berterusan kerana jenayah siber terus berubah mengikut arus waktu.
“Generasi akan datang akan menghadapi cabaran lebih kompleks jika tiada tindakan proaktif dari semua pihak termasuk platform, penguatkuasa dan ibu bapa.
“Jenayah siber terus berlaku dan berevolusi, justeru reformasi pendidikan digital perlu diterapkan dalam struktur sosial secara menyeluruh bukan sekadar di peringkat sekolah tetapi turut melibatkan institusi pendidikan dan ibu bapa yang perlu diberikan kesedaran serta ilmu asas secara wajib,” katanya kepada BBCPORTAL.

Mengulas lanjut, Sirajuddin berkata kesedaran dan tindakan beriniasatif platform media sosial juga menjadi benteng utama dalam membendung penyebaran CSAM, di mana pengesanan awal dan penyingkiran segera kandungan boleh mengurangkan kemudaratan kepada mangsa.
“Maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan bahawa pihak berkuasa dan penyedia perkhidmatan berkesan dalam mengesan dan bertindak dalam kes CSAM, di mana operasi yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC pada 23 hingga 30 September 2025 membawa kepada pemulihan lebih 880,000 fail berkaitan CSAM serta penahanan 31 individu di 37 lokasi.
“Kecepatan menurunkan kandungan CSAM ini membuktikan komitmen tinggi dalam melindungi kanak-kanak di negara ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau akui terdapat cabaran yang menyukarkan penguatkuasaan terhadap jenayah CSAM termasuk komunikasi rahsia dalam kumpulan tertutup seperti Telegram, Discord dan Dark Web yang menyukarkan pihak berkuasa untuk menjejak pelaku.
Katanya, penyalahgunaan teknologi seperti deepfake dan kecerdasan buatan (AI) juga turut menyukarkan tapisan kandungan oleh platform kerana bahasa dan istilah digunakan pelaku dikaburkan, sekali gus menjadikan pengesanan automatik lebih sukar dilakukan.
“Cabaran-cabaran ini menyukarkan pihak berkuasa menjejak pelaku dan motivasi mereka bukan sahaja minat seksual terhadap kanak-kanak tetapi juga kepentingan kewangan yang mendorong tindakan jenayah berulang.
“Justeru, pengesanan awal dan tindakan awal oleh platform bukan sahaja menghentikan penyebaran CSAM tetapi juga mengurangkan kemudaratan berulang kepada mangsa serta menghalang kandungan daripada tersebar lebih meluas.
“Kanak-kanak bawah 16 tahun lebih terdedah kerana emosi mereka masih belum stabil dan mudah dimanipulasi dan inilah antara sebab kerajaan menetapkan larangan akses media sosial kepada individu bawah umur sebagai langkah pencegahan utama,” katanya.
OLEH : AISYAH BADRUL