5 DIS : Hari ini, saya kehilangan seorang sahabat sejati yang begitu dekat di hati.
Demikian kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan pemergian Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, awal pagi tadi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata Allahyarham merupakan seorang insan yang setia dan sentiasa menemani di kala senang mahu pun susah.
“Ya Allah…Luluh hati saya saat menerima khabar pemergian sahabat saya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi Jumaat yang penuh kemuliaan
“Hari ini, saya kehilangan seorang sahabat sejati yang begitu dekat di hati, seorang rakan seperjuangan yang sentiasa teguh berdiri di sisi dan seorang insan yang sentiasa setia menemani di setiap waktu senang dan susah.
“Sukar untuk saya mencari kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini. Yang tinggal hanyalah doa, mengiringi segala kenangan dan kebaikan yang telah beliau tinggalkan buat kami di dunia ini,” katanya melalui satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mendoakan agar keluarga Allahyarham tabah serta kuat melalui saat-saat sukar ini.
“Kami di seluruh saf kepimpinan UMNO, BN dan seluruh rakyat khususnya di Negeri Sabah berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, dilimpahi keampunan dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman serta beramal soleh.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga kalian semua dikurniakan ketabahan, ketenangan dan kekuatan dalam melalui saat yang amat berat ini,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan dosa Allahyarham dan menerima segala amal bakti, mengangkat darjat kebaikan serta dikurniakan nikmat syurga yang abadi.
Terdahulu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah disahkan meninggal dunia pada jam 1.46 pagi tadi.
Pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan berusia 66 tahun itu disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan menerusi hantaran di Facebooknya.
Difahamkan sebelum itu, Bung Moktar menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu berikutan kegagalan fungsi buah pinggang serta jangkitan teruk pada paru-paru.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah Sabtu lalu, pemimpin berusia 66 tahun itu berjaya memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.