5 DIS : Kerajaan Perpaduan menolak tuduhan yang dilontarkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkait keputusan jemaah menteri membabitkan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata dakwaan Fadhli itu tidak berasas dan beliau perlu meneliti kenyataan media dikeluarkan kerajaan sebelum membuat tuduhan yang tidak tepat.
Katanya, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menjelaskan usul dibentang di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan ia dirujuk secara rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dipertimbangkan mengikut peraturan sedia ada.
“Ini menunjukkan bahawa Menteri Dalam Negeri akan bertindak sepenuhnya berlandaskan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan.
“Tuduhan yang dibuat oleh YB Fadhli Shaari adalah sangkaan jahat dan fitnah yang amat tersasar daripada fakta.
“Seeloknya, YB Fadhli membaca dan menghayati kenyataan tersebut terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan melulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Fadhli mendakwa kenyataan Azalina untuk merujuk Takiyuddin ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen menimbulkan kebimbangan mengenai campur tangan eksekutif dalam urusan legislatif.
Beliau turut berpendapat bahawa tatacara serta disiplin Ahli Dewan adalah bidang kuasa Dewan Rakyat sendiri, bukan Kabinet.
Terdahulu, jemaah menteri bersetuju merujuk Takiyuddin ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk penelitian lanjut selaras Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Usul menggantung Takiyuddin enam bulan susulan kenyataannya yang mengaitkan latihan Maritim Malaysia di Masjid Rusila dengan peristiwa Memali ditangguhkan.