6 DIS : Penyedia platform digital wajar dipertanggungjawabkan secara lebih jelas di bawah undang-undang bagi memastikan kandungan yang mempromosi keganasan dan ekstremisme dapat dikesan serta diturunkan dengan segera.
Pakar undang-undang, Profesor Datuk Dr Noor Aziah Mohd Awal berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memikul tanggungjawab besar dalam memantau platform baharu dan sedia ada selain perlu mengambil tindakan segera menggantung atau menutup platform yang menyebarkan kandungan berbahaya tanpa menunggu aduan.
“Kita mesti ingat bahawa kandungan yang sudah tersebar akan terus tersebar walaupun dipadamkan…tanggungjawab MCMC dan penyedia platform adalah memastikan pemantauan dilakukan secara proaktif tanpa menunggu aduan atau laporan.

“Jika berlaku kecuaian, penyedia platform juga wajar dihadapkan ke mahkamah,” katanya kepada BBCPORTAL.
Mengulas mengenai penggunaan simbol atau mesej tersirat dalam kandungan ekstremisme, Aziah berkata undang-undang yang ada masih belum memadai untuk menangani bentuk penyebaran yang semakin kompleks di ruang digital.
Menurutnya, walaupun Kanun Keseksaan mempunyai peruntukan berkaitan ekstremisme dan hasutan, ia tidak secara khusus merangkumi bentuk pelakuan yang berlaku atas talian.
“Ketika ini tiada undang-undang khusus yang benar-benar menangani ekstremisme dalam talian…Akta Jenayah Komputer juga tidak mencakupi kesalahan menggunakan isyarat, simbol atau kod tersirat yang disebarkan melalui internet.
“Justeru, kerajaan perlu menggubal segera Akta Jenayah Siber yang komprehensif di mana ia perlu melibatkan pakar undang-undang jenayah dan pakar teknologi bagi memastikan kerangka perundangan lebih kukuh,” katanya.
Sehubungan itu, bagi melindungi belia dan kanak-kanak daripada pendedahan kepada ideologi berbahaya, Aziah menggariskan beberapa keperluan segera dalam usaha membendung permasalahan yang mudah meresap melalui media sosial dan platform digital ketika ini.
Jelas beliau, ramai dalam kalangan ibu bapa serta masyarakat tidak menyedari kewujudan ajaran sesat atau ideologi ekstrem yang disampaikan secara halus kerana tahap literasi digital yang masih rendah dan kurangnya persediaan dalam memahami risiko penggunaan teknologi.
“Buat masa ini, usaha meningkatkan pendidikan serta kesedaran digital sangat penting kerana kita masih belum mempunyai kerangka undang-undang yang benar-benar kukuh untuk mengekang ekstremisme dalam talian khususnya membabitkan golongan muda…Akta Keselamatan Atas Talian 2025 pula hanya akan berkuat kuasa pada 2026.
“Oleh itu, pendekatan advokasi perlu diperluas termasuk melalui ceramah, kandungan TikTok, video penjelasan dan penyebaran hasil penyelidikan terkini bagi membantu golongan muda membezakan ajaran sahih daripada naratif ekstrem yang sering dimanipulasi di ruang digital,” katanya.
*OLEH : AISYAH BADRUL