22 DIS : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan komitmennya untuk terus memastikan kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan dipelihara termasuk Kampung Baru.
Menurutnya, usaha itu melibatkan kawasan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sejajar dengan pendirian kerajaan untuk mengekalkan warisan serta identiti komuniti tempatan dalam perancangan pembangunan bandar.
Hannah berkata pendiriannya itu bukan perkara baharu dan boleh dilihat melalui pengalamannya sebagai Ahli Parlimen Segambut yang meliputi kawasan Kampung Sungai Penchala.
“Mengenai komitmen saya dalam menjaga kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan, jangan risau. Rekod perkhidmatan saya boleh dirujuk. Saya Ahli Parlimen kawasan Kampung Sungai Penchala dan telah menegaskan betapa pentingnya kampung tradisi Melayu dipelihara,” katanya selepas melapor diri secara rasmi, hari ini.
Beliau berkata pembinaan bangunan komersial boleh dilakukan dengan mudah, namun kewujudan kampung tradisi Melayu semakin terhad perlu dipelihara sebagai sebahagian daripada identiti bandar.
“Kalau hendak mencari bangunan komersial, itu mudah, tetapi kampung tradisi semakin sukar ditemui. Bagaimanapun, semua perkara perlu ditangani mengikut peruntukan undang-undang dan saya perlu mendapatkan taklimat daripada agensi berkaitan terlebih dahulu,” katanya.
Mengenai isu Kampung Baru, Hannah berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat terkini daripada Penasihat Undang-Undang serta semua pegawai terlibat sebelum sebarang pendirian atau keputusan dibuat.
Selain itu, Hannah turut memaklumkan sudah berbincang dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani berhubung perkara itu dan semua urusan yang sudah dilaksanakan bekas menteri, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa akan diteruskan.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu Kampung Baru buat masa ini. Saya mahu mendapatkan perkembangan terkini terlebih dahulu supaya perbincangan dapat dibuat secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya.
Sementara itu, beliau menekankan soal keselamatan kawasan Wilayah Persekutuan untuk didiami selain menegaskan Ahli Parlimen perlu dirunding sebelum kelulusan pembangunan diberikan.
“Dalam soal pembangunan, adalah penting untuk melibatkan wakil rakyat tempatan, khususnya Ahli Parlimen, kerana mereka mendengar suara penduduk dan memahami isu di peringkat akar umbi.
“Sebagai Ahli Parlimen, saya faham betapa pentingnya penglibatan mereka sebelum sebarang kelulusan diberi, terutama jika perancangan pembangunan bercanggah dengan pelan tempatan yang telah diwartakan,” katanya.