23 DIS : Kementerian Kewangan menegaskan keperluan Malaysia untuk berhutang bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi namun ia diurus secara berhemah dan bertanggungjawab selari dengan prinsip disiplin fiskal yang diamalkan Kerajaan MADANI.
Menurut kementerian itu, sebagai sebuah negara membangun dengan asas hasil cukai yang masih terhad, penggunaan hutang tidak dapat dielakkan, namun ia tidak pernah dijadikan alasan untuk pembaziran.
“Sebagai sebuah negara membangun dengan asas hasil cukai yang masih belum meluas, Malaysia tidak dapat mengelak daripada memanfaatkan hutang untuk memangkin pertumbuhan ekonomi. Namun, kebergantungan ini tidak pernah menjadi lesen untuk pembaziran.
“Di bawah Kerajaan MADANI, amalan berhutang diurus dengan penuh amanah, dengan keutamaan diberikan kepada golongan rentan, pertumbuhan yang menyeluruh dan pembangunan yang disusun mengikut keperluan sebenar rakyat,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan turut menegaskan era perbelanjaan boros dan hutang tanpa kawalan sudah berakhir malah jumlah pinjaman baharu dikurangkan secara berperingkat setiap tahun.
“Justera itu, era perbelanjaan boros dan hutang tanpa kawalan kini tinggal dalam lipatan sejarah. Pinjaman baharu telah dikurangkan secara berperingkat saban tahun, sambil setiap sen hutang diteliti agar benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan rakyat.
“Sebahagian besar pinjaman hari ini tertumpu pada baik pulih prasarana kritikal, naik taraf sekolah dan klinik, peluasan capaian elektrik dan air serta penyediaan rumah untuk penjawat awam dan rakyat paling terkesan.
“Ia bukan projek mega untuk bermegah-megah, tetapi pembangunan yang mengangkat martabat kehidupan harian rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam memperkukuh disiplin fiskal negara, kementerian menegaskan penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) serta kelulusan Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan 2025 menjadi langkah penting ke arah tadbir urus kewangan yang lebih telus dan bertanggungjawab.
“Komitmen ini diperkukuh melalui penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) serta kelulusan Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan 2025- dua langkah bersejarah yang melakar garis panduan jelas bagi disiplin fiskal negara.
“Dengan adanya kerangka undang-undang ini, kerajaan dipertanggungjawabkan secara lebih ketat terhadap perbelanjaannya, sekaligus memulihkan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap pengurusan kewangan awam,” menurut kementerian itu.
Kementerian Kewangan turut memaklumkan bahawa sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, struktur fiskal negara telah disusun semula bagi memastikan kemampanan jangka panjang, tanpa mengabaikan kesejahteraan rakyat.
“Langkah-langkah ini membentuk batu asas untuk sebuah ekonomi yang lebih kukuh, adil dan mampan agar Malaysia dapat melangkah jauh dengan keyakinan dan maruah,” kata Kementerian Kewangan.