11 MEI: Isu keselamatan kanak-kanak di ruang digital kembali memicu perbincangan hangat mutakhir ini berikutan angka penahanan dan rampasan kandungan eksploitasi seksual yang terus meningkat.
Penganalisis perangsaraf media yang juga Pensyarah Komunikasi Sosial Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan berkata pelaksanaan pengesahan umur bagi pengguna bawah 16 tahun wajar dilihat sebagai langkah perlindungan, bukan sekatan.
Menurutnya, langkah itu juga boleh dikaitkan dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR) platform media sosial dalam memastikan keselamatan pengguna bawah umur terus dilindungi.
“Ia bukan satu bentuk sekatan akses, sebaliknya satu inisiatif perlindungan digital yang semakin diperlukan dalam persekitaran media sosial hari ini,
“Langkah ini juga boleh dijadikan sebahagian daripada CSR platform media sosial dalam memastikan usaha melindungi keselamatan kanak-kanak dalam talian dilaksanakan secara berterusan,” katanya kepada BBCportal.

Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Mengulas lanjut, Sauffiyan berkata pelaksanaan pengesahan umur pada peringkat awal juga mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman pengantunan, eksploitasi seksual dan pemangsaan digital terhadap kanak-kanak.
“Pelaksanaan pengesahan umur pada peringkat awal mampu membina kesedaran awam tentang ancaman tersebut.
“Selain itu, kempen komunikasi kerajaan juga perlu diperkasakan supaya mesej keselamatan digital dapat disampaikan secara meluas kepada pengguna,” katanya
Dalam pada itu, Sauffiyan berkata ancaman CSAM kini berada pada tahap membimbangkan dan memerlukan kerjasama semua pihak dan bukan hanya kerajaan semata-mata.
“Risiko kandungan CSAM amat membimbangkan dan memerlukan kerjasama bersepadu antara kerajaan, penyedia platform media sosial serta masyarakat digital.
“Pendekatan ini perlu dilihat secara menyeluruh kerana ancaman dalam talian semakin kompleks dan tidak boleh ditangani secara bersendirian oleh mana-mana pihak,” katanya.
Mengikut data operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebanyak 117 tangkapan dibuat dengan 162 lokasi diserbu, 272 peranti dirampas, 1,470,694 fail digital dirampas, 204,934 CSAM yang disahkan dan 101 individu sudah didakwa setakat ini.
Justeru itu, langkah pengesahan umur dan jaminan umur yang dilaksanakan Kerajaan MADANI terhadap pengguna bawah 16 tahun bukan lagi soal pilihan, tetapi keperluan keselamatan.
Antara operasi terlibat ialah Op Pedo 1.0, Op Pedo 2.0 dan Op Cyber Guardian 2025 yang membawa kepada 48 tangkapan hasil 61 serbuan di seluruh negara selain rampasan 148 peranti digital.
Operasi terbaharu, Op Cyber Guardian 2026 pula dilaksanakan dengan kerjasama tujuh negara termasuk Singapura, Thailand, Brunei, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun merekodkan 69 tangkapan melibatkan individu berusia antara 15 hingga 66 tahun.
OLEH: AISYAH BADRUL