11 MEI : Bersatu memecat dua lagi pemimpin parti itu iaitu Ketua Armada Bahagian Parit Parti, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi yang berkuat kuasa serta-merta.
Sementara dua lagi digantung keahlian iaitu Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas dan ADUN Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar bagi tempoh dua penggal pemilihan Bersatu.
Tindakan itu diputuskan menerusi notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, hari ini.
Keputusan pemecatan dua pemimpin tersebut di bawah Fasal 22.5 atas tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Sementara penggantungan terhadap Islahuddin dan Almidi turut menyebabkan kedua-duanya dilucutkan daripada semua jawatan yang dipegang dalam parti dan tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan atas nama Bersatu sepanjang tempoh penggantungan.
Kesemua tindakan disiplin itu diputuskan selepas Lembaga Disiplin Bersatu bersidang dan mendapati mereka melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli parti.
Namun kesemua pemimpin terlibat boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.