11 MEI : Tiada sebarang perbincangan berkait Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibangkitkan dalam pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu itu juga tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, sesi menghadap dan fotografi bersama baginda dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail di Istana Besar Johor itu hanyalah sempena sambutan ulang tahun ke-80 UMNO.
“Saya bertemu tetapi tidak menyentuh langsung mengenai perkara itu.
“Ia satu peristiwa sangat signifikan kerana penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 juga dilakukan di Istana Besar Johor dan sesi fotografi yang sama turut diadakan ketika itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Johor, hari ini.
Ketika ditanya soal mesyuarat tersebut, beliau memaklumkan ia hanya mesyuarat biasa.
“Secara seriusnya, saya ingin menyatakan bahawa ini hanyalah mesyuarat biasa..
“Walaupun banyak isu nasional dibincangkan, topik PRN Johor tidak disentuh,” katanya.
Menurutnya, sebarang keputusan berkait PRN Johor termasuk kemungkinan diadakan lebih awal daripada Melaka hanya akan dibincang dengan Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor.
Beliau sempat memuji pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Onn Hafiz yang dilihat berjaya memberikan ‘wow factor’ kepada rakyat melalui pengumuman dalam Belanjawan 2026.
“Peningkatan pendapatan negeri membolehkan pengagihan dibuat secara adil kepada semua kumpulan masyarakat tanpa mengira umur, kaum dan agama.
“Kita harapkan kemakmuran ini dihargai oleh seluruh rakyat Johor,” katanya.

Sementara itu, melalui hantaran di Facebook beliau, Ahmad Zahid berkata Tangga Istana Besar Johor mengukir sejarah besar bangsa Melayu tepat tarikh 11 Mei 1946.
“Sesungguhnya, di sinilah para pemimpin Melayu berhimpun, menyatukan tekad dan keberanian untuk mempertahankan agama, bangsa, tanah air serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Daripada semangat perjuangan itulah lahirnya UMNO, sebuah wadah yang akhirnya menjadi tunjang kepada kemerdekaan negara dan pembentukan sebuah negara bangsa yang berdaulat.
“Hari ini, saya bersama saf kepimpinan UMNO berpeluang untuk kembali berdiri di tempat yang sama, selepas 80 tahun UMNO melalui pelbagai mehnah dan liku-liku perjuangan,” katanya.
Tambahnya, ia bukan sekadar untuk bernostalgia atau merakam gambar kenangan tetapi bagi mengenang jasa generasi terdahulu, menginsafi harga sebuah perjuangan dan memperbaharui tekad bahawa amanah ini mesti terus dipikul dengan setia, berani serta penuh tanggungjawab.
“Setinggi-tinggi junjungan kasih dirafakkan ke hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan mencemar duli ke sesi fotografi yang penuh bersejarah ini.
“Junjungan kasih jua buat Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas limpah perkenan dan sokongan dalam menyempurnakan detik yang amat bermakna buat seluruh keluarga besar UMNO,” katanya.
Ahmad Zahid berkata sejarah sentiasa mengingatkan kita bahawa kekuatan sesebuah bangsa lahir daripada kesatuan hati rakyat, kesetiaan kepada institusi Raja-Raja Melayu, serta keikhlasan untuk berkhidmat demi masa depan agama, bangsa dan negara.
“Semoga UMNO terus kekal sebagai wadah perjuangan yang menyatukan, mempertahankan maruah bangsa, menjunjung agama, memelihara kedaulatan Raja-Raja Melayu dan berkhidmat kepada tanah air tercinta.
“Dulu, kini dan selamanya. UMNO akan terus menjadi Rumah Bangsa..Daulat Tuanku!,” katanya lagi.