24 DIS : Kerajaan menurunkan harga runcit RON97, RON95 dan diesel bagi tempoh 25 hingga 31 Disember 2025.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan penurunan itu seiring dengan perubahan harga pasaran minyak dunia.
“Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan harga runcit RON97 sebanyak 8 sen kepada RM3.16 seliter, RON95 tanpa subsidi diturunkan sebanyak 6 sen kepada RM2.56 seliter dan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak 8 sen kepada RM2.94 seliter bagi tempoh 25 Disember 2025 hingga 31 Disember 2025.
“Harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut MoF, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97, RON95 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut MoF.
Penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan Formula Mekanisme Harga Automatik (APM).