25 DIS : Orang ramai diingatkan agar berwaspada dengan mesej palsu yang dihantar WhatsApp.
Portal MyCheck Malaysia memaklumkan mesej itu kononnya berbaur amaran bagi mengumpan pelanggan menekan pautan diberikan.
“Dakwaan kononnya WhatsApp menghantar mesej kepada orang ramai memaklumkan bahawa akaun mereka bakal disekat kerana berlakunya pelanggaran terma dan sekatan hanya boleh ditarik balik jika menekan pautan yang disertakan adalah tidak benar.
“ WhatsApp tidak akan menghantar pautan melalui mesej termasuklah SMS berhubung sekatan akaun, sebaliknya jika berlaku pelanggaran terma perkhidmatan, akaun pengguna akan terus disekat dan akan muncul notifikasi sebaik pengguna membuka aplikasi WhatsApp,” menurut portal itu.
Menjelas lebih lanjut, portal itu mengingatkan orang ramai sebarang urusan sekatan akaun WhatsApp hanya boleh dilakukan aplikasi tersebut.
“Diingatkan, tiada perkhidmatan pihak ketiga yang boleh menyahsekat akaun WhatsApp, sebaliknya hanya aplikasi itu sahaja boleh membuka semula sekatan akaun itu.
“Mesej palsu itu berkemungkinan besar adalah taktik ‘phishing’ untuk memancing data peribadi orang ramai.
“Justeru, jangan panik apabila mendapat mesej sedemikian dan jangan klik pautan dengan semberono,” jelas portal itu lagi.