31 DIS : Thailand menghantar pulang 18 tentera Kemboja yang ditahan selaras Kenyataan Bersama yang ditandatangani pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) ketiga, Sabtu lalu.
Kementerian Luar Thailand (MFA) berkata mengikut Kenyataan Bersama itu, tentera yang ditahan perlu dihantar pulang selepas gencatan senjata dipenuhi selama 72 jam.
“Pembebasan ini juga adalah atas semangat Deklarasi Bersama antara Thailand dan Kemboja yang ditandatangani pada 26 Oktober 2025 di Kuala Lumpur,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
MFA berkata layanan diberi terhadap 18 anggota tentera Kemboja itu selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa termasuk Konvensyen Geneva 1949 serta peraturan dan amalan kemanusiaan yang ditetapkan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).
Selain itu, MFA berkata ICRC dibenarkan melawat tahanan secara berkala dan membantu memudahkan komunikasi antara anggota tentera terbabit dengan keluarga mereka.
“Penghantaran pulang ini dilaksanakan mengikut Konvensyen Geneva Ketiga berkaitan Layanan Terhadap Tawanan Perang,” katanya.
Kesemua tentera itu juga menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dihantar pulang.
“Penghantaran pulang 18 anggota tentera Kemboja ini mencerminkan perasaan muhibah dan pembinaan keyakinan serta pematuhan kepada prinsip kemanusiaan antarabangsa,” kata MFA.
Terdahulu, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata segera, berkuat kuasa dari tengah hari waktu tempatan bagi menamatkan semua permusuhan sempadan, sekali gus menghentikan konflik yang tercetus semula pada 7 Disember.
Kenyataan Bersama itu ditandatangani Menteri Pertahanan Thailand Jen (B) Nattaphon Narkphanit, yang juga Pengerusi Bersama GBC Thailand dan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pertahanan Kemboja Jen Tea Seiha yang merupakan Pengerusi Bersama GBC Kemboja.