KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG & REFORMASI INSTITUSI
Kerajaan MADANI kekal komited untuk mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat terutamanya bagi golongan rentan khususnya kanak-kanak daripada kemudaratan jenayah siber yang kian kompleks dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] yang secara rasminya bermula pada 1 Januari 2026.
Selaras dengan peruntukan Seksyen 5 Akta Keselamatan Dalam Talian, selaku Menteri yang dipertanggungkan dalam hal ini, sukacita saya umumkan penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang akan berfungsi sebagai badan penasihat strategik tertinggi yang akan memandu hala tuju keselamatan dalam talian termasuk memantau dan memberikan syor mengenai keselamatan kandungan dalam talian.
Jawatankuasa ini bukan sekadar berperanan secara pentadbiran, sebaliknya menjalankan fungsi substantif yang meliputi pemberian nasihat kepada MCMC berhubung pengelasan kandungan memudaratkan dan kandungan prioriti seperti penganiayaan seksual kanak-kanak serta fraud kewangan, penentuan kaedah analisis risiko dan strategi mitigasi bagi melindungi pengguna daripada kemudaratan dalam talian, penilaian keberkesanan mekanisme aduan serta pemantauan penguatkuasaan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang, selain melaksanakan penyelidikan teknikal dan analisis pakar terhadap trend baharu jenayah siber termasuk penyalahgunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan deepfakes.
Bagi menjamin ketelusan dan kredibiliti, ahli Jawatankuasa ini dilantik daripada pelbagai latar belakang kepakaran, merangkumi sektor awam, swasta dan masyarakat sivil seperti berikut:
-Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim – Pengerusi
-Datuk Lim Thean Shiang – Timbalan Pengerusi
-Barhoum Abe Abed – Pemberi Perkhidmatan
Aplikasi Berlesen (Application Service Provider – ASP)
-Mohd Kasyful Azim Ab Rahman : Pemberi Perkhidmatan Rangkaian Berlesen (Network Service Provider – NSP)
-Dr Ruzimi Mohamed : Wakil dalam kalangan orang kurang upaya
-Datuk Zurkarnain Mohd Yasin
Thiyagu Ganesan
Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan
Puan Wathshlah Naidu : Orang yang mempunyai pengalaman, pengetahuan atau kepakaran yang bersesuaian dalam perkara yang berhubungan dengan keselamatan dalam talian.
Pelantikan ini adalah bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028.
Kerajaan MADANI kekal komited untuk memastikan bahawa hak kebebasan bersuara dihormati, namun dalam masa yang sama, tidak akan berkompromi terhadap keselamatan rakyat, terutamanya golongan rentan.
DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG & REFORMASI INSTITUSI