5 JAN : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan ganguan perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Salang, Pulau Tioman.
Menurut MCMC, ganguan sejak 27 Disember itu susulan cuaca buruk yang melanda pulau berkenaan, baru-baru ini.
“MCMC menerima aduan daripada Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain serta penduduk kampung berkenaan gangguan perkhidmatan selular 2G dan 4G di Kampung Salang, Pulau Tioman, Pahang yang menjejaskan hampir 100 penduduk berikutan cuaca buruk yang melanda Pulau Tioman baru-baru ini.
“Berdasarkan faktor keselamatan dan perkhidmatan feri yang terhad pada musim Monsun Timur Laut (MTL), pihak Celcom Digi hanya berjaya tiba di Pulau Tioman pada 31 Disember 2025 untuk melaksanakan kerja-kerja penggantian peralatan yang rosak.
“Perkhidmatan selular telah berjaya dipulihkan sepenuhnya pada 1 Januari 2026,” menurut MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut MCMC, stesen pemancar selular di Kampung Salang yang diselia Celcom Digi itu menggunakan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN).
Dalam kejadian itu, ia mengalami kerosakan teruk hingga menyebabkan perkhidmatan selular Celcom Digi, Maxis dan U Mobile di kampung tersebut terputus sejak 17 Disember 2025.
“Semakan MCMC mendapati perkhidmatan jalur lebar tetap Unifi beroperasi seperti biasa,” kata suruhanjaya itu.
Menurut MCMC lagi, terdapat sembilan stesen pemancar keseluruhannya di Pulau Tioman dan semua pemancar ini beroperasi dengan baik kecuali di Kampung Salang.
“MCMC akan terus bekerjasama dengan agensi yang berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memberi bantuan kepada penyedia perkhidmatan dari aspek pengangkutan dan sokongan logistik khususnya pada musim Monsun Timur Laut,” menurut MCMC lagi.