Erdogan bimbang kesihatan Mahathir : Anwar
9 JAN : Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyuarakan kebimbangan terhadap kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ia susulan perkembangan terkini bekas pemimpin itu yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bertanya khabar tentang kesihatan Dr Mahathir ketika bertemu dalam lawatannya ke Turkiye.
“Presiden Tayyip Erdogan juga menanyakan tentang kesihatan Tun Dr Mahathir.
“Saya jelaskan sedikit daripada apa yang telah disampaikan oleh doktor dan beliau bersama-sama mengucapkan selamat serta mendoakan agar afiah dan keselamatan,” katanya.
Menurut Anwar, pemimpin Turkiye itu turut menyatakan hasrat untuk menghubungi Dr Mahathir bagi bertanya khabar dan sekiranya keadaan kesihatan bekas perdana menteri dua kali itu bertambah baik.
Selasa lalu, Dr Mahathir menerima rawatan di IJN selepas terjatuh di kediamannya.
Dr Mahathir kemudiannya dilaporkan perlu menjalani rawatan dan pemantauan di hospital untuk beberapa minggu.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA