10 JAN : Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan yang membuka tirai hari ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Barisan Nasional (BN) yang diwakili Mohd Kurniawan Naim Moktar berdepan calon Parti Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman serta calon Bebas, Goldam Hamid.
Sementara satu lawan satu di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang menyaksikan calon BN, Mohd Ismail Ayob (Miha) menentang calon Parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek Chua.
Tiada calon lain mengemukakan kertas pencalonan selepas proses penamaan ditutup jam 10 pagi di Dewan Sri Lamag.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Eddy Syaizul Rizam Abdullah berkata proses penamaan calon berjalan lancar.
“Saya menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati memutuskan, tiada yang ditolak kertas penamaannya,” katanya ketika mengumumkan calon bagi dua PRK itu.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK tersebut pada 24 Januari ini sementara hari pengundian awal 20 Januari.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.