KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada laporan media berkenaan situasi wabak penyakit Nipah yang berlaku di West Bengal, India. Tiada kes baharu penyakit Nipah dilaporkan di Malaysia sehingga kini susulan kejayaan membendung wabak penyakit tersebut sejak September 1999.
Penyakit Nipah adalah penyakit berjangkit zoonotik yang disebabkan oleh virus Nipah (NIV) dengan keluang (flying foxes/ fruit bats) sebagai perumah semulajadi (natural reservoir). Jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan yang dijangkiti seperti air liur, darah dan rembesan, pengambilan makanan yang telah tercemar serta kontak dengan cecair badan individu yang dijangkiti.
Gejala seperti demam, sakit kepala, muntah, batuk, susah bernafas, sawan, kekeliruan, dan kebingungan lazimnya muncul selepas tempoh pengeraman antara lima (5) hingga ke 14 hari.
Komplikasi penyakit ini termasuk radang otak (encephalitis) dan masalah pernafasan dengan kadar kematian antara 40% hingga 75%.
Penyakit ini wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Pemantauan berterusan penyakit ini juga dipertingkatkan melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) melalui pendekatan One Health. Setakat ini, tiada virus Nipah dikesan dalam kalangan haiwan domestik atau liar.
Orang awam, terutamanya pengembara ke kawasan berisiko tinggi dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri, mengelakkan sentuhan dengan haiwan yang sakit atau pengambilan produk yang disyaki tercemar bagi mencegah jangkitan virus Nipah. Pengembara dari kawasan yang berisiko dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri dan segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya tidak sihat.
Walaupun Malaysia tidak melaporkan sebarang kes penyakit Nipah sejak tahun 1999, KKM kekal berwaspada terhadap risiko penularan rentas sempadan susulan kejadian jangkitan secara sporadik di beberapa negara lain.
Sehubungan itu, KKM terus memperkukuhkan kesiapsiagaan melalui saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), khususnya melibatkan pengembara dari negara berisiko.
Pada masa yang sama, KKM turut mempertingkatkan pengawasan berterusan, pengukuhan kapasiti makmal negara, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan termasuk amalan pencegahan dan kawalan infeksi (IPC), serta kerjasama rentas sektor dan antara agensi bagi melindungi kesihatan awam dan mencegah kemunculan semula penyakit Nipah di negara ini.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA