30 JAN : Jemaah menteri tidak akan campur tangan dengan proses penyiasatan yang dijalankan badan-badan penguatkuasa terhadap pegawai kerajaan di negara ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata Kabinet menyerahkan sepenuhnya kepada badan penguatkuasaan untuk bertindak.
“Jadi di pihak jemaah menteri, kita tidak mengambil apa-apa tindakan, ini adalah tindakan daripada badan penguatkuasaan seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) seperti yang telah diambil terhadap Ketua Pengarah (Jabatan) Alam Sekitar dan timbalan, jemaah menteri tidak campur tangan dalam isu ini.
“Kita serah sepenuhnya kepada badan penguatkuasaan untuk mengambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan agar penegasan diberi dalam beberapa isu terutama penguatkuasaan.
“Perdana Menteri minta supaya beberapa isu terutama aspek penguatkuasaan yang Perdana Menteri tegur dalam perhimpunan bulanan semalam diberikan penegasan oleh anggota jemaah menteri.
“Ini kerana kalau kita lihat beberapa tindakan yang diambil badan-badan penguatkuasaan menunjukkan mungkin beberapa sikap yang tidak begitu membantu, itu menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sudah menyampaikan kepada semua setiausaha kementerian agar memastikan aspek integriti diperkemas.
“Tapi peringatan yang telah diberikan itu juga telah disusuli oleh (kenyataan) KSN kepada semua setiausaha kementerian untuk pastikan aspek-aspek integriti diperkemas dan tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini,” katanya.