2 FEB : Arab Saudi memberi amaran kegagalan Washington bertindak terhadap Iran bakal mengukuhkan lagi kedudukan kepimpinan Tehran itu.
Amaran itu dikeluarkan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman, lapor Axios.
Putera Khalid menyuarakan pandangan itu ketika beberapa taklimat tertutup di Washington di tengah-tengah ketegangan serantau yang terus meningkat.
Kenyataan itu menandakan perubahan ketara pendirian Arab Saudi yang sebelum ini mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelak tercetusnya peningkatan konflik.
Tiga minggu lalu, Putera Mahkota Mohammed bin Salman menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengelakkan tindakan ketenteraan ke atas Iran.
Dipercayai amaran itu menjadi antara faktor yang menyumbang kepada penangguhan sebarang serangan.