Hari Keselamatan Internet ruang fahami bahaya dunia maya
5 FEB : Internet hari ini bukan sekadar alat komunikasi, tetapi ruang yang boleh mempengaruhi keselamatan, emosi dan masa depan seluruh keluarga.
Keselamatan di ruang Internet yang tiada batas itu pula kini tidak lagi menjadi isu teknikal semata-mata sebaliknya ia sudah menjadi isu keluarga dan masyarakat.
Kanak-kanak pula semakin terdedah kepada Internet dan teknologi kecerdasan buatan (AI) lebih awal dan kesannya begitu membimbangkan jika digunakan tanpa bimbingan.
Dalam masa sama, kes penipuan dalam talian menjadi semakin kompleks, licik dan sukar dikesan oleh pengguna biasa malah kerugian yang direkodkan saban tahun bukan sedikit.
Lebih merisaukan, ramai pengguna masih tidak menyedari risiko yang datang melalui telefon pintar di tangan mereka sendiri.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan apa yang ditemui di Internet.
“Di Internet ini bukan semua boleh percaya, hati-hati dan semak dulu supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Justeru itu, bagi menangani cabaran tersebut kerajaan menganjurkan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 sebagai platform nasional yang mendekatkan isu keselamatan digital dengan rakyat.
HKI 2026 yang dijadual 8 Februari ini di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur membawa perbincangan tentang kanak-kanak, AI, penipuan dalam talian dan tanggungjawab digital ke ruang awam secara santai dan mudah difahami.
Program ini bukan acara rasmi semata-mata, sebaliknya usaha membentuk budaya penggunaan Internet yang lebih selamat, sedar dan bertanggungjawab.
HKI 2026 memberi fokus kepada perubahan sikap dan kesedaran pengguna, bukan sekadar amaran tentang bahaya dunia maya.
Dengan tema “Teknologi Pintar, Pilihan Selamat”, program ini menekankan penggunaan teknologi dan AI secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini menggunakan pendekatan edutainment yang sesuai untuk ibu bapa, remaja, pelajar dan keluarga.
Antara pengisian menarik termasuk sesi pocket talk dan perbincangan santai tanpa bahasa teknikal yang berat.
Selain itu, pelbagai aktiviti interaktif dan pameran keselamatan digital turut disediakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.
Melalui HKI 2026, mesej keselamatan Internet diharap dapat disampaikan dengan lebih dekat, ringkas dan berkesan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Maklumat lanjut layari laman rasmi Hari Keselamatan Internet 2026 https://mcmc.gov.my/ms/hki2026/home
