Kerajan tidak menentang ternakan babi : PM
9 FEB : Kerajaan MADANI tidak menentang penternakan babi di negara ini.
Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata aktiviti penternakan itu perlu mengambil kira kepentingan masyarakat setempat.
“Kita dari segi dasar tidak menentang ternakan babi dan tidak melarang orang bukan Islam makan babi.
“Tetapi kita juga tidak boleh memaksa masyarakat yang tidak menghendakinya untuk menerima ternakan itu di persekitaran tempat tinggal mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, penternakan babi tidak sewajarnya dilakukan di kawasan yang berpotensi mencetuskan kontroversi dan pertikaian awam.
“Kalau di Kuala Lumpur tidak sesuai, maka tidak perlu. Kalau di Selangor sukar, maka sukarlah. Jangan cari masalah kerana isu bau, kesihatan dan najis itu masalah yang nyata.
“Saya sendiri tidak bersetuju jika ada ternakan babi di sekitar rumah saya di Sungai Long. Bukan kerana saya anti orang Cina makan babi, tetapi kerana masalah bau dan pengurusan najis yang menimbulkan ketidakselesaan,” katanya.
Sebagai penyelesaian, Anwar menyeru agar pendekatan rundingan berhemah diamalkan pihak terlibat.
“Jawapannya bukan dengan bengis, bukan mencerca dan bukan menghina.
Kita hormati hak orang yang makan babi dan mereka juga perlu hormati hak kita untuk menjaga kawasan yang sesuai. Dengan cara itu, negara akan kekal aman,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA