9 FEB : Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka membentangkan pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat pada Jun atau Julai depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata di peringkat Kabinet ia sudah dibentangkan Jumaat lalu.
Katanya, pindaan yang dicadangkan itu antara lain membuat pengkelasan bagi kesalahan bergantung tahap keseriusan kesalahan.
Jelasnya, kira-kira 73 kesalahan yang direkodkan di bawah peruntukan sedia ada diuruskan mengikut satu hala saja terutama melibatkan ikat jamin dan tempoh menunggu prosiding yang lama.
“Kita ada cadangan sehingga diperakukan jemaah menteri, kita akan membuat pengkelasan bergantung pada tahap seriusnya kesalahan itu.
“Jika satu tahap kesalahan yang membawa hukuman penjara yang berat, 20 atau 30 tahun misalnya, kita cenderung mencadangkan supaya tidak ada ikat jamin dalam tempoh yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, bagi kesalahan yang hukumannya jauh lebih ringan, penentuan sama ada ikat jamin atau tidak, boleh dilakukan majistret atau dicadangkan Timbalan Pendakwa Raya. Ini antara perubahan berbanding status sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KDN di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, KDN mengesyorkan kes SOSMA itu dikendalikan satu mahkamah khas memandangkan prosiding kes itu mengambil yang masa terlalu lama.
“Kita mahu mempercepat proses itu kerana kritikan yang paling keras terhadap SOSMA adalah mereka yang terbabit itu, ketika tidak dibenarkan ikat jamin, prosiding yang lama untuk mereka tunggu dianggap sebagai satu hukuman,” katanya.