10 FEB : Kerajaan akan menjalankan beberapa operasi pembenihan awan di Johor, Kedah dan Perak mulai esok hingga Ahad ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu diambil susulan penyusutan paras air di beberapa empangan berikutan cuaca panas berterusan.
“Sekarang ini kita sedang mengalami musim Monsun Barat Daya.
“Meskipun hanya di peringkat amaran tetapi kita tidak mahu tunggu sampai ke peringkat kritikal baru hendak berusaha,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.
Beliau berkata demikian selepas Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan lokasi pembenihan awan melibatkan Empangan Upper Layang, Empangan Pulai 1 dan Empangan Machap di Johor yang akan dilaksanakan masing-masing mulai esok, Khamis dan Ahad.
Sementara di Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning di Kedah serta Empangan Bukit Merah di Perak akan dijalankan pada Jumaat dan Sabtu ini.