23 FEB : Usul untuk membahaskan isu pemilikan saham berkait Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditolak, hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata penolakan itu susulan jawatankuasa khas sudah ditubuhkan untuk menyiasat isu berkenaan.
Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) memaklumkan sudah menulis surat mengusulkan perkara itu ke pejabat Yang Dipertua pada 12 Februari lalu sambil menegaskan isu itu mendesak dan wajar dibincangkan segera di Parlimen.
“Dalam surat saya telah menyatakan alasan mengapa saya percaya perkara ini adalah mendesak dan melibatkan kepentingan awam.
“Saya bersedia untuk membahaskan perkara ini serta membentangkan isu dan fakta yang berkaitan kepada Dewan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ramkarpal menyifatkan penubuhan jawatankuasa tersebut tidak sepatutnya menghalang perbahasan di Parlimen.
Sementara itu, Johari berkata selepas siasatan selesai, beliau akan mempertimbangkan membenarkan isu tersebut dibahaskan.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham Azam Baki itu dan akan dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Media antarabangsa, Bloomberg sebelum ini dalam laporannya mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham Velocity dengan nilai pegangan dianggarkan bernilai hampir RM800,000.
Namun Azam menegaskan beliau sudah tidak mempunyai sebarang pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.