25 FEB: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Kangar bagi membatalkan saman pemula yang difailkan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Peguam Rus’sele, Wan Rohimi Wan Daud berkata permohonan itu difailkan Isnin lalu dan pihak plaintif diberi tempoh sehingga 25 Mac depan untuk memfailkan jawapan terhadap afidavit Rus’sele.
“Mahkamah turut menetapkan tempoh kepada pihak defendan untuk membalas pada 15 April 2026.
“Seterusnya, prosiding melalui Zoom di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi akan diadakan pada 16 April 2026 bagi menetapkan tarikh bicara permohonan serta arahan lanjut,” katanya, lapor Bernama.
Pada 2 Januari lalu, media melaporkan tiga bekas wakil rakyat PAS, Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) memfailkan saman pemula terhadap Rus’sele berhubung pengisytiharan kekosongan luar jangka bagi kerusi yang diwakili.
Kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi itu diumum pada 25 Disember tahun lalu selepas keahlian tiga wakil rakyat PAS terbabit terhenti serta-merta selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Keputusan tersebut susulan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 24 Disember 2025 yang memaklumkan keahlian ketiga-tiga ADUN berkenaan terhenti berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).