3 MAC : Kerajaan memandang serius penyebaran fitnah berniat jahat, tohmahan dan rujukan palsu yang sengaja disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata tindakan itu secara jelas bertujuan memburukkan usaha-usaha kerajaan dan menggugat ketenteraman awam dengan mencampuradukkan isu-isu yang berbeza.
“Berkenaan isu penodaan al-Quran yang melibatkan seorang mahasiswa, Kerajaan MADANI ingin sekali lagi menegaskan bahawa individu berkenaan sudah ditahan pihak polis pada 25 Februari 2026, sehari selepas kejadian diketahui umum.
“Tindakan serta-merta sudah diambil dan individu tersebut juga sudah didakwa di mahkamah hari ini.
“Kerajaan tidak akan sesekali bertolak ansur dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap agama Islam, khususnya terhadap kita suci Al-Quran,” katanya pada sesi Taklimat Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Dalam pada itu, Nashrul berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menegaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara hukum yang ditadbir berpaksikan oleh undang-undang.
Justeru itu katanya, keadilan hakiki menuntut proses pengadilan yang telus, bukannya penghukuman tanpa usul periksa.
“Justeru, Pejabat Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat agar merujuk sumber yang benar dan boleh dipercayai sebelum berkongsi sebarang maklumat, tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan tohmahan yang tidak disokong fakta, memberi ruang kepada proses undang-undang berjalan dengan adil dan telus serta tidak memperalat kesucian agama bagi kepentingan politik kepartian,” katanya.