4 MAC : Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju melantik Tengku Zafrul bagi tempoh dua tahun yang berkuat kuasa, hari ini.
Menurut PMO, pelantikan Tengku Zafrul adalah bagi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri.
“Perdana Menteri menzahirkan harapan agar Tengku Zafrul dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik serta penuh tawaduk demi kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Tengku Zafrul pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) selama enam tahun di bawah pentadbiran tiga Perdana Menteri bermula 10 Mac 2020.
Beliay menamatkan tempoh maksimum yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan sebagai Senator pada Disember tahun lalu.
Bekas Menteri Kewangan itu kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 3 Disember lalu untuk tempoh dua tahun.