4 MAC : Kerajaan MADANI akan sentiasa mengutamakan kebajikan serta keselamatan semua rakyat Malaysia yang berada di negara bergolak susulan perang melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata dalam tempoh terdekat Kementerian Luar atau lebih dikenali sebagai Wisma Putra akan mengeluarkan kenyataan berkait tindakan yang akan diambil.
“Wisma Putra memberi beberapa maklumat dan maklum balas terkini mengenai situasi khusus berkait rakyat Malaysia yang berada di negara-negara Asia Barat khusus di sekitar kawasan Teluk.
“Wisma Putra akan mengeluarkan kenyataan susulan mengenai beberapa tindakan yang akan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika sesi lisan di Dewan Negara hari ini memaklumkan setakat ini kerajaan masih belum perlu mengaktifkan pelan evakuasi bagi membawa keluar rakyat Malaysia.
Kata Mohamad, keadaan di Qatar dan negara-negara Teluk masih terkawal meski keadaan keselamatan di Asia Barat tidak menentu.