4 MAC : Lebih 12.5 juta rakyat Malaysia sudah memanfaatkan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk Semua dengan pembelian lebih RM1 bilion barangan keperluan asas sejak diumumkan, tiga minggu lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata hasil penjimatan yang dipulangkan kini dapat dirasai setiap isi rumah.
“SARA untuk Semua adalah hasil penjimatan yang dicapai melalui penstrukturan semula kewangan negara. Ketirisan ditutup, tatakelola diperkemas dan hasil yang dijimatkan dipulangkan kepada rakyat.
“Ini membuktikan bahawa apabila hasil negara diagih secara saksama, manfaatnya dirasai oleh isi rumah di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF), hari ini.
Melalui kenyataan itu, MoF memaklumkan jualan pada hari pertama pelaksanaan SARA untuk Semua tahun ini mencecah RM97 juta, hampir dua kali ganda berbanding nilai jualan RM50.7 juta yang direkodkan tempoh sama, tahun lalu.
Dalam kenyataan sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata MoF sudah memastikan kelancaran sistem bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada pengalaman pembelian rakyat.
“Daripada 3,782 transaksi seminit pada hari pertama pelaksanaan tahun lepas, sistem kini mampu memproses lebih daripada 11,000 transaksi seminit tanpa sebarang kelewatan atau gangguan,” katanya.
Dalam pada itu, MoF memaklumkan penggunaan MyKad sebagai medium pelaksanaan program tersebut memudahkan rakyat memanfaatkan bantuan bersasar, di samping memastikan penyaluran yang cekap dan terurus.
Setakat ini, penggunaan kredit RM100 di bawah SARA Untuk Semua itu sudah mencecah 56 peratus dan baki kredit tersebut sah sehingga 31 Disember 2026.
Dari segi taburan geografi, kadar penggunaan SARA Untuk Semua setakat ini menunjukkan kadar lebih tinggi di Zon Borneo serta kawasan Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia.
Negeri dan Wilayah Persekutuan yang mencatatkan kadar penebusan antara yang tertinggi termasuk Sabah (70%), Perlis (65%), Kelantan (64%), Labuan (64%), Terengganu (63%), Kedah (63%), Sarawak (62%), dan Pahang (60%).
Menurut MoF, Selain membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, program SARA turut menyokong aktiviti ekonomi setempat, khususnya di peringkat komuniti.
Bilangan Rakan Niaga SARA juga menurut MoF kini merangkumi lebih 4,400 kedai runcit kecil di seluruh negara, selain rangkaian pasar raya sedia ada menjadikan jumlah keseluruhan premis yang menerima transaksi SARA melebihi 11,300.
MoF berkata kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan kedai runcit kecil kepada 10,000 menjelang penghujung tahun 2026, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA kepada 20,000.
Tambah MoF, Peningkatan itu dijangka mengurangkan jarak purata ke premis penerimaan SARA kepada sekitar 7 kilometer (km) berbanding 10 km ketika ini, sekali gus memudahkan akses rakyat.