Konflik Asia Barat: PM pesan jimat cermat, kawal belanja
6 MAC : Semua pihak termasuk rakyat disaran berjimat cermat dan mengawal perbelanjan berikutan konflik yang kian memuncak di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia susulan konflik tersebut berisiko memberi kesan kepada ekonomi dunia terutama melibatkan kos pengangkutan, perdagangan dan harga barangan import.
Namun katanya yang juga Menteri Kewangan, kerajaan memantau rapi situasi tersebut dan akan mengambil langkah pencegahan awal bagi memastikan kesan diterima rakyat berkurangan.
“Saya suruh supaya semua masyarakat, rakyat, kalangan pekerja dan peniaga waspada dan tidak memandang ringan perkara ini. Jika keadaan berterusan, ia boleh menjadi krisis ekonomi yang lebih besar daripada dijangka.
“Saya tidak mahu pandangan yang terlalu selesa, perbelanjaan tidak terkawal, serta amalan boros dan membazir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata ketegangan Asia Barat kini menyebabkan gangguan laluan perkapalan di kawasan teluk yang menyebabkan peningkatan kos logistik dan memberi kesan kepada harga barang.
Katanya gangguan itu menyebabkan lebih 200 kapal membawa minyak, gas serta barangan dagangan utama terkandas atau terpaksa mengalih haluan yang lebih jauh.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia masih mampu bertahan untuk tempoh sehingga dua bulan namun keadaan semasa tidak begitu memberangsangkan.
“Setakat ini kita masih boleh bertahan dalam tempoh satu hingga dua bulan, tetapi petanda awal tidak begitu baik.
“Jika keadaan ini berlanjutan, kos barangan termasuk makanan dan import untuk syarikat kecil dan sederhana akan meningkat,” katanya.
Susulan konflik yang memuncak itu, Iran sebelum ini mengumumkan penutupan laluan Selat Hormuz yang menjadi laluan perkapalan utama.
Iran turut memberi amaran mana-mana kapal yang cuba melalui selat itu berisiko diserang.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA