7 MAC : Malaysia menyatakan sokongan terhadap keputusan Indonesia yang menyekat akses platform digital berisiko tinggi untuk kanak-kanak di bawah umur 16 tahun, mulai hujung bulan ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ia merupakan langkah tepat yang diambil Kerajaan Indonesia.
“Saya amat mengalu-alukan inisiatif rakan sejawat saya di Indonesia, Meutya Hafid. Kami telah lama berbincang mengenai usaha bersama memastikan Internet selamat untuk rakyat negara masing-masing terutama kalangan kanak-kanak.
“Saya merasakan ini langkah tepat oleh kerajaan Indonesia. Malaysia juga bersedia berkongsi pengalaman, teknik, dan aspek kawalan selera yang boleh dimanfaatkan oleh Indonesia,” katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan selepas Majlis Iftar dan Sumbangan Aidilfitri bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB), malam tadi.
Terdahulu, media Indonesia melaporkan kerajaannya akan menyahaktifkan akaun media sosial milik kanak-kanak bawah 16 tahun mulai 28 Mac ini melibatkan YouTube, TikTok, Facebook, Instagram, Threads, X, Bigo Live, dan Roblox.
Menurut Fahmi, kerjasama bagi keselamatan digital di rantau ini diperkukuh sejak tahun lalu melalui Deklarasi Kuala Lumpur yang diterima pakai negara ASEAN.
“Menteri-Menteri Komunikasi di seluruh Asia Tenggara bersetuju untuk menilai dan melaksanakan langkah-langkah menjamin keselamatan pengguna.
“Tidak semua negara mempunyai hasrat yang sama, tetapi ini permulaan baik untuk memperkukuh keselamatan digital,” katanya.