7 MAC : Malaysia menolak sebarang serangan atau tindakan ketenteraan yang melanggar kedaulatan negara lain.
Pendirian itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi melalui panggilan telefon pada Jumaat.
Tegas Anwar, beliau turut menyampaikan kebimbangan jika konflik dicetus Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran itu berpanjangan.
“Semalam saya mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi bagi menzahirkan simpati dan solidariti Malaysia terhadap rakyat Iran dalam menghadapi saat yang amat sukar ketika ini.
“Malaysia turut menegaskan pendirian tegas terhadap sebarang tindakan ketenteraan yang mencabuli kedaulatan sesebuah negara, di samping menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap implikasi konflik yang berpanjangan terhadap keamanan, kestabilan dan kesejahteraan global,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurutnya, dalam perbualan telefon itu juga, beliau menyampaikan ucapan takziah susulan rakyat Iran yang terkorban termasuk Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei serta 165 orang pelajar sekolah akibat serangan rejim Israel bersama AS di Tehran, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata perbincangan juga menyentuh keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan, memperkukuh usaha diplomasi serta mencari jalan damai bagi menamatkan konflik yang sedang melanda rantau tersebut.
Ini termasuk isu Palestin yang terus menuntut perhatian masyarakat antarabangsa, katanya.