Konflik Asia Barat: Eksport tenaga beri kelebihan buat Malaysia
10 MAC : Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menghadapi kesan ekonomi susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Malaysia memiliki kelebihan sebagai pengeksport bersih tenaga yang menjadi penampan terhadap ketidaktentuan pasaran minyak global termasuk dalam situasi perkembangan geopolitik yang berpotensi menyebabkan lonjakkan harga minyak mentah.
“Berikutan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport dan pengeluar bersih, kita mempunyai bekalan yang amat baik dan stabil bagi pelanggan utiliti serta industri.
“Kita juga merupakan pengeluar bahan api dalam negara dan ini memberi sedikit keanjalan untuk mengharunginya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP) pada Isnin.
Katnya, bekalan petrol dalam negara juga memadai dengan paras simpanan semasa pada paras wajar.
Namun, Amir Hamzah berkata, kerajaan tetap berhati-hati terhadap kemungkinan kesan domestik akibat kenaikan harga tenaga.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata kerajaan sudah mengurus potensi kesan tersebut melalui beberapa langkah termasuk pelaksanaan subsidi bersasar sejak dua tahun lalu, sekali gus membolehkan peningkatan kos berkaitan diserap secara berperingkat oleh sistem selain memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan.
“Sejak dua tahun lepas, kita memperuntukkan banyak masa bagi melaksanakan subsidi. Menerusinya, kita berjaya melaksanakan beberapa mekanisme pemindahan kos kepada sistem yang membolehkan usaha mengurus impak terhadap kedudukan fiskal kerajaan dilakukan dengan lebih baik.
“Pada masa sama, keutamaan segera kerajaan adalah memastikan kestabilan bekalan bahan api di negara ini, khususnya gas dan petrol,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA